Monday, March 23, 2009

Talentime!!


Oleh SY MUSSADDAD MAHDI (15 March 2009 : Utusan Malaysia)

Sering tampil dengan garapan yang membawa pengisian penuh makna tersirat di sebalik paparan visualnya, Yasmin Ahmad meneruskan penjelajahan itu dengan Talentime yang dijadual memulakan tayangan pada 26 Mac ini.

Ini adalah filem ketiga Yasmin bersama Primeworks Studios selepas Mukhsin pada 2007. Talentime juga bersifat kritis dalam soal perhubungan dengan mengangkat kepelbagaian kaum di Malaysia.

Yasmin mengangkat kehidupan masyarakat Malaysia. Dia membuatkan penontonnya sering berasa dekat dengan paparannya kerana setiap pengkisahannya adalah realiti yang kita sering tonton seharian.

Memaparkan Ipoh sebagai lokasi utama filem yang menelan belanja RM1.5 juta ini sememang begitu menyentuh perasaan dengan lakonan para pelakon yang begitu dekat di hati Yasmin sendiri.


Berlatar pertandingan adu bakat antara pelajar di sebuah sekolah, Talentime bertumpu pada kehidupan dua keluarga. Satu keluarga campuran Melayu-Inggeris manakala satu lagi sebuah keluarga India yang konservatif.

Telentime memperlihatkan bagaimana dua kehidupan itu bertembung apabila keperitan yang dilalui menjadi hikmah yang memutikkan cinta, dalam kisah ini antara Melur lakonan Pamela dan Mahesh.

Filem ini juga membicarakan hal perhubungan antara seorang anak dan ibu yang terlantar sakit, mengenai erti kasih dan pengorbanan, serta menyentuh mengenai hati dan perasaan dua guru.

Kali ini Talentime menampilkan dua muka baru, Pamela Chong dan Mahesh Jugal Kishor sebagai pelakon utamanya, selain turut dibintangi Mohd Syafie Naswip yang digilap bakatnya menerusi filem Mukhsin, Azean Irdawaty, Adibah Noor dan Jit Murad.

Kali ini tumpuan lebih terarah kepada Jaclyn Victor yang diangkat ke layar perak buat kali pertama.

Lakonan yang diberikan oleh Jac tidak mengecewakan dan dia tampil sebagai kakak kepada Mahesh yang masih lagi hidup dalam sebuah keluarga India yang konservatif.

Garapan babak demi babak yang dijalinkan membuai emosi penonton sehingga ada yang menitiskan air mata. Paling mengesankan babak Hafiz lakonan Shafie yang sanggup menjaga ibunya lakonan Azean Irdawaty selepas waktu sekolah.

Bayangkan pengorbanan seorang anak terhadap ibu yang tiada penghujung. Kasih sayang yang tidak dapat dicari ganti sehinggalah ke akhir hayat.

l Mahu Talentime diterima

Bagi Yasmin sendiri, dia mengharapkan naskhahnya kali ini dapat diterima ramai. Jelasnya, filem ini masih lagi dikira kecil jika mahu dibandingkan dengan filem yang lain.

“Memang saya seronok membuat filem ini. Bukan sahaja kerana jalan ceritanya, malah kesungguhan setiap pelakon yang bersungguh-sungguh membuatkan saya lebih bersemangat.

“Bagi saya pelakon yang baik mestilah mempunyai karisma. Dan saya telah buktikan dalam filem ini, setiap pelakon yang saya bawa masuk mempunyai karisma yang tersendiri. Walaupun sebahagiannya hanya watak kecil, ia tetap berbekas di hati penonton,” jelasnya lagi.

Mungkin ada yang melihat filem ini lebih banyak memaparkan budaya dan adat resam agama Hindu dan soalan yang berlegar di fikiran, adakah itu yang mahu diangkat oleh Yasmin dalam karyanya itu.

Bagi Yasmin, filem bukan sekadar mengangkat budaya dan bahasa masing-masing. Malah apa yang cuba dipamerkan adalah lebih kepada tema kemanusiaan.

“Masyarakat di Malaysia sendiri berbilang kaum dan setiap hari kita dapat lihat pelbagai budaya dan adat resam. Saya hanya memaparkan apa yang saya lihat seharian. Tidak salah bukan?” tegas Yasmin.

Setelah menghasilkan Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin dan Muallaf, nama Yasmin tidak pernah lekang dengan kontoversi. Pelbagai pihak seakan-akan tidak senang dengan apa yang diperolehnya sehingga kini.

Akui Yasmin, dia langsung tidak ambil pusing dengan apa yang orang lain lakukan terhadap dirinya.

Walaupun ramai yang cuba menabur pasir dalam periuknya, Yasmin tetap akan terus berjuang dalam industri ini. Sebelum ini kebanyakan karya-karya Yasmin akan dipertandingkan di luar negara.

Apabila ditebak sama ada filem ini juga akan dipertandingkan di luar negara, kata Yasmin itu bukanlah niat utama dia menghasilkan filem dan ia akan menjadi sesuatu yang membanggakan jika filem itu berjaya dipertontonkan di luar negara.

Semasa penggambaran lagi dia tidak mahu menanam stigma kepada setiap kru untuk membuat Talentime kerana mahu menyertai mana-mana festival.

Lantaran itu dia hanya mahu menghasilkan sebuah naskhah yang terbaik dan boleh diterima umum.